Penjawat Awam Selangor Terima Bonus Setengah Gaji Atau RM1000

2

Kerajaan Selangor hari ini mengumumkan pemberian Bantuan Khas Kewangan (BKK) bersempena Aidilfitri sebanyak setengah bulan gaji atau minimum RM1,000 kepada semua penjawat awam negeri yang akan dibayar pada 19 Mei depan.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata BKK itu turut diberikan kepada ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, speaker dan timbalan speaker, ahli Dewan Undangan Negeri, pengurusan tertinggi dan anggota perkhidmatan kerajaan negeri yang gajinya dibayar oleh kerajaan persekutuan.

“Kerajaan negeri juga bersetuju agar pembayaran BKK dipanjangkan kepada pemimpin masyarakat (MPKK), pegawai perhubungan kampung baru/ bagan/ tersusun, ketua komuniti India dan Penyelia Wanita Berdaya (PWB) sebanyak RM1,000 dan Penggerak Belia Selangor sebanyak RM500 yang akan dibiayai oleh kerajaan negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan pada Majlis Mahabbah Ramadan bersama Penjawat Awam Negeri Selangor, di sini hari ini. Amirudin berkata pembayaran BKK itu melibatkan implikasi kewangan sebanyak RM22.675 juta.

Manakala setiausaha MPKK dan petugas masjid pula akan menerima bantuan RM500 yang akan disalurkan melalui program CSR anak syarikat kerajaan negeri. Sehingga 15 April lepas, kerajaan negeri mencatatkan kutipan hasil berjumlah RM853.31 juta atau 38.79 peratus daripada anggaran hasil bagi 2021 sebanyak RM 2.20 bilion, penurunan sebanyak 19.39 peratus berbanding tempoh sama pada tahun lalu.

Sumber : Bernama

2 Comments
  1. Shubhi says

    Wah! seronoknya mereka dapat duit raya !

  2. Aisya Ismail says

    Rezeki penjawat awam.

Leave A Reply

Your email address will not be published.