KUALA LUMPUR: Kerajaan akan menambah inisiatif sedia ada yang dikenali MyKasih Kapital dengan modal maksimum sebanyak RM1000 kepada sekurang-kurangnya 2000 penerima berkelayakan sempena dengan Hari Wanita pada 8 Mac 2021 yang lalu.
SUNTIKAN MODAL PERNIAGAAN RM1,000
Menurut Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin berkata bahawa insentif tambahan kepada insentif sedia ada itu disediakan antara lain untuk kegunaan dalam bidang e-dagang ataupun dropship.
Bantuan berupa suntikan modal perniagaan yang dikenali sebagai MyKasih Kapital ini ditawarkan dengan modal maksimum berjumlah RM1,000.
PENUBUHAN SKUAD WAJA
Penubuhan skuad ini adalah bertujuan untuk menghentikan keganasan terhadap wanita serta memperkasakan pengetahuan umum mengenai hak-hak wanita.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin juga berkata bahawa pihak kerajaan akan menubuhkan Skuad WAJA yang dibentuk melalui inisiatif penyertaan komuniti wanita yang akan turut memberikan sokongan dari aspek psikososial dan meningkatkan kesedaran berkaitan dengan isu-isu jenayah.
SARANAN PEMERLUASAN KEMUDAHAN BDR
Tan Sri Muhyiddin Yassin turut menyarankan Jabatan Perkhidmatan Awam dan Kementerian Sumber Manusia untuk melihat kesesuaian pemerluasan kemudahan Bekerja Dari Rumah (BDR) untuk sektor awam dan swasta dengan gaji penuh bagi penjagaan ahli keluarga yang uzur dan sakit serta menyokong isteri dalam hal penjagaan anak yang baru lahir.
Hal ini adalah untuk menggalakkan ‘shared responsibility’ dan membolehkan wanita kekal dalam sektor pekerjaan serta meningkatkan produktiviti kerja.
“Selain itu, saya juga telah meminta dikaji sekiranya kemudahan BDR ini dapat dipanjangkan kepada wanita atau lelaki yang kematian pasangan bagi membolehkan mereka menguruskan perkara-perkara yang berkaitan dengan urusan kematian yang lazimnya memerlukan masa agak lama untuk diselesaikan,” katanya.
Sementara itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin juga menyambut baik cadangan daripada Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarat iaitu Datuk Seri Rina Harun agar Model Pemerkasaan Wanita menjadi pemacu pembangunan wanita di negara ini.
Add comment