Angkat bendera putih ibarat kalah dalam peperangan – PAS Pahang

0

Tindakan mengibarkan bendera putih bagi meminta sumbangan keperluan yang diperlukan seaktu pandemik ini disifatkan seperti mereka yang kalah dalam peperangan.

Pesuruhjaya PAS Pahang, Rosli Abdul Jabar berkata, perbuatan itu tidak sewajarnya dilakukan kerana masih terdapat pelbagai cara untuk mendapatkan bantuan.

“Kita tidak setuju dengan cadangan ini iaitu mengibar bendera putih, jika kehabisan makanan, banyak kaedah lain yang boleh digunakan.”

“Jangan angkat bendera putih kerana tindakan ini seperti orang kalah perang, sedangkan kita masih ada kekuatan, kibarkan panji Islam dengan kibaran syiarnya Islam sebagai agama yang saling membantu,” katanya dalam satu hantaran di Facebook milik beliau pada Selasa.

Kempen mengibar bendera putih heboh diperdebatkan netizen di laman media sosial sejak Isnin lalu dan sudahpun ramai yang mendapatkan bantuan dari orang ramai dengan cara sebegini.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Lumpur menjelaskan, perbuatan menaikan bendera putih boleh menyebabkan ada invidivu yang mengambil kesempatan di atas kesulitan hidup yang dilalui.

Tambahnya lagi perbuatan ini seperti membuka keaiban sedangkan setiap insan perlu memelihara maruah diri dan ummah.

Semua pimpinan seperti Ahli Parlimen dan ADUN di setiap kawasan perlu membuka bilik operasi bantuan dan talian operasi sepanjang tempoh pandemik ini sekali gus menjadi penyelaras kepada organisasi yang diamanahkan untuk menyalurkan bantuan.

“Organisasi komuniti masyarakat seperti JKKKK, KRT dan seumpamanya disaran bagi membuka bilik operasi bantuan untuk mereka yang terputus bekalan makanan, selain menyediakan khidmat penghantaran bagi yang tiada kenderaan.” ujarnya.

Masjid atau surau juga boleh berperanan sebagai pusat zakat bantuan sama ada menggunakan dana bantuan kerajaan, majlis agama, pusat zakat dan bantuan orang ramai. Manakala bagi bukan Islam pula ianya boleh dilaksanakan di kuil, tokong atau gereja dan dimana-mana pusat komuniti mereka.

“Pastikan talian operasi diketahui oleh komuniti dengan apa jua cara sebaran. Juteru mereka yang memerlukan bantuan boleh datang atau menghubungi talian operasi.

“Saya yakin dengan cara ini kita dapat mengelakkan orang mengambil kesempatan dan tidak menjadikan rumah mereka sebagai stor menyimpan
barang sumbangan,” katanya.

Bagi penduduk di DUN Tanjung Lumpur yang memerlukan bantuan, boleh menghubingi talian operasi 011-5989 7556, tambahnya lagi.

Leave A Reply

Your email address will not be published.