Ayah terlibat dengan dadah, ibu terpaksa dakap jenazah anaknya semalaman kerana tidak mampu untuk kebumikan

0

Seorang wanita hanya mampu mendakap mayat bayi lelaki yang baru mencecah usia tiga bulan semalaman setelah meninggal dunia akibat demam panas.

Sang ibu malang tersebut menunggu semalaman bagi menguruskan jenazah anaknya itu lantaran kesempitan hidup. Kejadian ini dirakamkan di sebuah rumah setinggan Kampung Bangau-bangau, Semporna, Sabah. Mujur ada dari pasukan sukarelawan NGO tempatan yang pantas menghidu kejadian ini bertindak menghulurkan bantuan.

Kata Laili Basir, Pengasas Rumah Ngaji, pihaknya membantu menguruskan jenazah bayi lelaki tersebut bersama bantuan tiga orang guru agama dari kampung yang lain. Ibu itu dikatakan tinggal menumpang di rumah tersebut bersama seorang lagi anak perempuannya yang berusia dua tahun.

Seorang sukarelawan menyedari tentang kejadian itu ketika sedang melalui di tempat tersebut dan melihat ibu berkenaan menangis. Setelah ditanya, si ibu menjelaskan bahawa bayinya sudah meninggal dunia dan dia tidak mampu untuk menguruskan jenazahnya kerana tidak mempunyai apa-apa.

Laili turut menambah bahawa pihaknya bergegas menguruskan bayi tersebut dan selamat dikebumikan pada jam 1:30 tengah hari.

Difahamkan bahawa ibu berkenaan masih dalam keadaan trauma dan telah meminta bantuan beberapa orang sebelum itu. Keluarga berkenaan dilanda kesempitan hidup ekoran dari suaminya yang menjalani hukuman penjara di atas kesalahan dadah.

Mereka akhirnya dibantu dengan dibekalkan beberapa barangan keperluan hidup untuk dua bulan serta bantuan lain yang sesuai dengan keperluan mereka.

Laili menjelaskan lagi bahawa Rumah Ngaji yang dikendalikannya banyak membantu masyarakat setempat terutamanya buat mereka yang tiada identiti pengenalan diri untuk belajar agama sejak bebeapa tahun yang lalu.

Pada masa yang sama juga pihak Rumah Ngaji telah bekerjasama dengan beberapa NGO di semenanjung untuk kutipan dana bagi membantu golongan memerlukan.

Leave A Reply

Your email address will not be published.