Derhaka kepada Agong, PM harus letak jawatan – UMNO

0

Derhaka kepada Agong : Susulan kepada isu penamatan Ordinan Darurat pada 21 Julai 2021 yang lalu tanpa perkenan YDPA, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Dr. Asyraf Wajdi Dusuki dalam satu kenyataan di laman rasmi facebook beliau memandang isu ini dengan serius.

Lantaran daripada itu Dr. Asyraf Dusuki mendesak supaya ahli-ahli parlimen UMNO menzahirkan keputusan Majlis Kerja Tertinggi UMNO pada 7 Julai 2021 yang lalu untuk menarik sokongan terhadap  Tan Sri Mahiaddin Md Yassin selaku Perdana Menteri.

derhaka kepada agong

1. Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia memandang serius Titah DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang menzahirkan rasa amat dukacita mengenai kekeliruan yang disengajakan berkenaan pembatalan semua Ordinan Darurat melalui kenyataan media yang dikeluarkan oleh Istana Negara.

2. Ternyata pembatalan Ordinan-Ordinan Darurat sebagaimana yang diumumkan Menteri Undang-Undang pada hari Isnin, 26 Julai lalu di Parlimen amat mengelirukan kerana hakikatnya belum lagi mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.

3. Malah, kenyataan Media Istana Negara juga mendedahkan bahawa Kerajaan dengan sengaja ingkar dan melanggar Titah Tuanku Yang di-Pertuan Agong yang jelas mahu cadangan pembatalan semua Ordinan Darurat dibentang dan dibahaskan di Parlimen bagi tujuan diungkaikan (pengundian) sejajar dengan maksud Perkara 150(3) Perlembagaan Persekutuan.

4. Bagi Pemuda UMNO, tindakan Kerajaan ini jelas merupakan satu bentuk penderhakaan kerana membelakangi titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong selaku Ketua Negara!

5. Justeru, Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia dengan ini mendesak supaya YAB Tan Sri Mahiaddin Md Yasin untuk segera meletakkan jawatan selaku Perdana Menteri kerana jelas melanggar sumpah jawatan untuk sentiasa taat kepada Yang di-Pertuan Agong dan mempertahankan Perlembagaan Persekutuan.

6. Pemuda UMNO juga mendesak supaya Ahli-Ahli Parlimen UMNO menzahirkan keputusan Majlis Kerja Tertinggi UMNO pada 7 Julai 2021 yang lalu untuk menarik sokongan terhadap Tan Sri Mahiaddin Md Yassin selaku Perdana Menteri!

7. Sebagai sebuah parti yang menjadi benteng utama membela Institusi Raja-Raja Melayu sebagaimana Fasal 3 Perlembagaan UMNO, UMNO tidak boleh berkompromi dengan sikap biadap Kerajaan yang dipimpin Tan Sri Mahiaddin Md Yassin terhadap Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

Dr. Asyraf Wajdi Dusuki
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia
29 Julai 2021

Derhaka kepada Agong : Sumber dari Facebook rasmi Dr. Asyraf Wajdi

Baca juga : Agong Zahir Rasa Dukacita, PN Batal Ordinan Darurat Tanpa Perkenan

Baca juga : Tokyo 2020 : Regu Badminton Malaysia Aaron Chia-Wooi Yik Mara Ke Separuh Akhir

Leave A Reply

Your email address will not be published.